Friday, May 3, 2013

SERI SIYASAH QOLBU 2: DOKTOR SEMBUH SEJURUS MINUM AIR ZAMZAM

DOKTOR SEMBUH SEJURUS MINUM AIR ZAMZAM




Oleh: Dr. KH. Mujar Ibnu Syarif, SH, MA (Presiden
Direktur Pondok Pesantren
Darussiyasah)


            Pada musim haji tahun 2007, setelah melalui seleksi  cukup ketat, alhamdulillah, saya diberi kepercayaan sekaligus penghormatan oleh Menteri Agama Republik Indonesia, untuk menjadi salah seorang Pasukan Pembimbing Ibadah Haji Indonesia (TPIHI). Saat itu saya dan tujuh orang kru kumpulan terbang ( kloter ) lainnya bertugas mendampingi kloter 04 JKS yang berjumlah 454 jemaah yang berasal dari wilayah Jakarta Selatan.
           Kami memulakan rangkaian ibadah haji dengan melaksanakan solat arba'in dan berziarah ke tempat-tempat bersejarah di kota Madinah al-Munawwarah, utamanya ke raudhah atau ke makam Nabi Muhammad SAW. Kami diberi kesempatan beribadah di Madinah al-Munawwarah selama sembilan hari. Pada hari ketiga, salah seorang jemaah kloter kami, yang termasuk kategori jemaah dengan risiko tinggi (risti) kerana usianya yang sudah tua (berusia kira-kira 60 tahun), yakni Mak Cik Upi, dilaporkan mengalami kemalangan ringan, yakni terkilir (terkehel) kakinya akibat terjatuh semasa berziarah ke masjid Quba.
           Akibat kemalangan itu, automatik Mak Cik Upi tidak dapat lagi melaksanakan solat berjemaah di Masjid Nabawi ataupun berziarah ke tempat-tempat bersejarah yang lain yang belum sempat dikunjunginya bersama jemaah yang lain. Memandangkan semua jemaah haji yang tinggal satu  bilik dengan Mak Cik Upi di aras 9 hotel Raudhah selalu berusaha solat lima waktu berjemaah di masjid Nabawi, maka ketika waktu solat tiba, Mak Cik Upi pasti akan tinggal seorang diri di bilik hotelnya. Demi mempercepat kesembuhannya dan juga demi menjaga kesihatan dan keselamatan Mak Cik Upi daripada hal-hal yang tidak diingini sewaktu berada seorang diri di bilik hotelnya, doktor pakar kesihatan jiwa di kloter kami, yakni doktor  Joni Ismoyo, mencadangkan kepada ketua kloter supaya Mak Cik Upi dibawa ke Daker (Daerah kerja) Madinah atau ke hospital  Al-Malik Abdul Aziz yang paling hampir di kota Madinah untuk mendapatkan rawatan intensif.
           Mendengar usulan doktor Joni, dengan penuh rasa ingin tahu, saya bertanya, "Dok, memangnya penyakit Mak Cik Upi itu boleh menyebabkan kematian, ya, sehingga beliau mesti dibawa ke Daker atau ke hospital?"
            "Menurut analisis perubatan, sesungguhnya penyakit Mak Cik Upi akibat terkilir itu tidak mungkin menyebabkan kematian,”  jawab doktor Joni mantap.
             Saya sebenarnya kurang bersetuju dengan jawapan doktor Joni itu. Sebagai Muslim yang percaya seratus peratus dengan kemahakuasaan Allah, saya berkeyakinan sebaliknya, tidak mustahil,  penyakit di kaki Mak Cik Upi akibat terkilir itu, dapat meragut nyawanya. Sebab dalam kenyataan sering terjadi orang yang tidak sakit sekalipun, jika  ajal yang ditetapkan Allah untuknya telah tiba, boleh sahaja meninggal dunia. Kerana saat ini Mak Cik Upi sedang sakit, maka sangat boleh jadi, seringan apapun penyakitnya atau betapapun remeh penyebab sakitnya itu, boleh menyebabkan  kematiannya. Sebagai seorang doktor Muslim, sesungguhnya saya menginginkan doktor Joni menjawab pertanyaan saya dari perspektif iman, bukan semata-mata pertimbangan perubatan.
Namun demikian, saya tidak berusaha mendebat pendapat doktor Joni, sebab boleh jadi, ketika didebat, Doktor Joni malah akan marah kepada saya. Paling tidak, doktor Joni, akan balik bertanya kepada saya, "Yang doktor itu sesungguhnya Anda atau saya?" Demi menjaga kekompakkan (kemesraan) sesama kakitangan kloter, saya berusaha memendam perasaan tidak puas itu dalam hati saya. Ini saya lakukan kerana saya ingat salah satu sabda Nabi, "man kana yu'minu billahi wal yaumil akhir falyaqul khairan aw liyashmut", barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, hendaklah ia mengucapakan kata-kata yang baik atau ia diam sahaja."  Oleh itu, untuk mengelakkan pertelingkahan, maka saya diam sahaja sambil menekan perasaan tidak puas hati  saya atas jawapan doktor Joni itu.
          Tepat pukul satu malam waktu Arab Saudi, doktor Joni membangunkan saya dan mengkhabarkan berita duka cita bahawa menurut  pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbitnya daripada doktor  yang bertugas  di Daker Madinah, Mak Cik Upi telah meninggal dunia. Mendengar  informasi itu, saya pun mengucapkan istirja ', innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Kami semua merasa sedih sangat atas wafatnya Mak Cik Upi. Sebab, walaupun baru bertemu ketika menunaikan ibadah haji, kami menganggap Mak Cik Upi itu sebahagian daripada keluarga kami, yakni keluarga besar kloter 04 JKS.
Dengan menggunakan lif, saya, doktor Joni, dan doktor Leni Victoria, yang adalah juga salah seorang tenaga perubatan wanita di kloter kami segera naik ke aras sembilan Hotel Raudhah untuk memberitahu berita duka cita itu kepada Ketua Rombongan (Karom) dan anak angkat Mak Cik Upi yang pada musim haji tahun itu ikut menunaikan ibadah haji bersama Mak Cik Upi.
          Setelah kejadian itu, saya mengingatkan Doktor Joni agar berhati-hati dengan apa yang dikatakannya. Meninggalnya Mak Cik Upi, menurut  saya, menyimpan mesej atau teguran implisit daripada Allah SWT kepad doktor Joni bahawa betapapun hebatnya ilmu perubatan yang dimilikinya, mestinya ia sedar, bahawa ilmunya itu sungguh sangat terhad berbanding Kemahaluasan ilmu Allah SWT. Buktinya, analisis perubatan yang dinyatakannya di depan saya bahawa penyakit Mak Cik Upi tidak akan mengakibatkan kematiannya, ternyata meleset. Yang terjadi justeru sebaliknya, Mak Cik Upi meninggal dunia, walaupun penyebab penyakit yang dideritanya hanya kecil sahaja, yakni terkilir kerana terjatuh semasa berziarah ke Masjid Quba'. Tapi, ketika diingatkan, doktor Joni agaknya, masih tetap pada keyakinan ilmu perubatan yang dikuasainya, bahawa menurut teori perubatan, Mak Cik Upi tidak akan meninggal dunia kerana tergelincir yang dialaminya, sekalipun bukti sudah sangat terang membatalkan keyakinnanya itu. Melihat doktor Joni agak mulai emosi, saya kembali diam, seraya berdoa dalam hati, semoga Allah membukakan hati doktor Joni untuk meyakini kemahakuasaan-Nya.
           Pada suatu malam, tepatnya malam ketiga ketika kami kembali ke hotel di Syib Amir, yang lokasinya berhampiran dengan perkuburan Ma'la, tempat Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad SAW dimakamkan, selepas malam-malam sebelumnya kelelahan mendera kami selepas ibadah wukuf, mabit di Mina, dan melontar tiga Jamrah: Aqabah, Ula, Wustha, tiba-tiba doktor Joni merintih sambil terus memegangi perutnya. Saya yang tidur tepat di sebelah Doktor Joni segera bangkit. Saya pegang dahinya dengan tangan kanan saya. Terasa di tangan saya panas suhu badannya sangat tinggi. Tidak hanya itu, menurut pengakuan doktor Joni, perutnya juga terasa sakit sangat. Doktor Leny segera datang dengan membawa ubat penurun panas lengkap dengan antibiotiknya. Satu jam berlalu setelah minum ubat, ternyata sakit yang diderita doktor Joni bukannya sembuh, tetapi malah bertambah teruk. Saya kembali mengingatkan Pasukan Perubatan di kloter kami yang terdiri daripada dua orang doktor pakar, yakni doktor Joni dan doktor Leni Victoria dan dua orang “suster” (jururawat), iaitu suster Balqiswati dan suster Puput, bahawa sesungguhnya yang menyembuhkan penyakit itu bukan ubat, tapi Allah SWT Yang Maha Penyembuh.
        Saya teringat sebuah peristiwa di mana Nabi pernah menyembuhkan penyakit mata yang diderita oleh Ali Bin Abi Thalib dengan hanya mengoleskan (menggosokkan) ludah beliau pada  ke dua-dua bola mata Ali yang sedang sakit, seraya berdoa untuk kesembuhannya. Keajaiban terjadi, Ali segera sembuh daripada penyakit mata yang dideritanya seolah sebelumnya ia tidak pernah menderita penyakit apa pun jua. Dengan berbekal keyakinan terhadap kemahakuasaan Allah, saya segera menuangkan ke dalam cawan air zamzam yang kebetulan saya bawa dalam botol plastik dari Masjid al-Haram. Saya baca ummul Quran seraya bermunajat ke hadrat Allah untuk kesembuhan doktor Joni. Kemudian saya tiupkan aura bacaan ummul Quran ke dalam cawan berisi air zamzam yang saya pegang. Sambil membaca basmallah, saya bimbing doktor Joni meminum air zamzam yang telah saya panjatkan doa ke hadrat Allah untuk kesembuhan penyakit yang tengah dideritanya itu.
          Subhanallah, keajaiban berlaku. Beberapa minit kemudian doktor Joni ternyata sembuh daripada sakit yang dideritanya. Sehabis meneguk secawan air zamzam yang telah dibacakan doa itu, menurut pengakuan doktor Joni, perutnya terasa hangat dan selesa sangat  seperti ada tangan-tangan ghaib yang mengelus bahagian dalaman perutnya, sehingga ia pun sembuh daripada penyakitnya itu.
        Baru setelah kejadian itu, doktor Joni berkali-kali mengucapkan tasbih dan takbir sebagai ungkapan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah menyembuhkan penyakit perut yang dideritanya. Dia sedar bahawa kejadian yang dialaminya, baik di Madinah semasa Mak Cik Upi meninggal dunia, mahupun ketika ia sakit perut di Makkah, merupakan teguran implisit yang disampaikan Allah SWT kepada dirinya khususnya dan kepada para doktor lain pada umumnya agar tidak takabbur dengan ilmu perubatan yang dikuasainya. Kini, beliau sangat yakin bahawa ilmu perubatan yang dikuasai seorang doktor pakar seperti dirinya, tidak ada apa-apanya dibanding kemahakuasaan Allah SWT.




Artikel berbahasa Melayu  yang ditulis oleh Presiden Direktur Pondok Pesantren Darussiyasah (Dr. KH. Mujar Ibnu Syarif, M. Ag), yang bersumber dari kisah nyata yang beliau alami sendiri sewaktu menjadi Tim pembimbing Ibadah Haji (TPIHI)  tahun 2007 ini, pernah dimuat dalam Koran Fikrah HarakahMalaysia, pada kolom Kisah Dari Tanah Suci, edisi 24-27 Zulkaedah 1431 H/1- 4 November 2010 M.  Koran dimaksud dinahkodai oleh Partai Islam Se-Malaysia (PAS). Artikel ini beliau tulis di Malaysia, sewaktu beliau masih bertugas sebagai Dosen Tamu Senior (Visiting Senior Lecturer) di University of Malaya, Malaysia.